Sanjaya berjaya menyelesaikan masalah perdagangan keluarga Dharmakusuma di Gelanggi Ayu dengan baik. Ia hanya terbit daripada silap faham di antara beberapa orang wakil mereka di situ dengan saudagar-saudagar berkenaan yang sudah sekian lama berurus niaga dengan keluarga Dharmakusuma.
Kini dia mengorak langkah untuk ke kembali ke Kelantan Amdan Negara. Dia berhasrat juga untuk singgah seketika di Triang, di pinggiran negeri Pahang Indera Pura. Untuk menziarahi Panglima Harum Bumi, Pembesar Pahang yang juga sahabat baik ayahnya, Panglima Agung Ozalan Oghuz.
Sesudah beberapa hari perjalanan, menonggang dua kuda setianya, Gupta dan Pradhana, secara bergilir-gilir, dia kini menghampiri daerah Kuala Lipis. Gunung Korbu yang tersergam megah di kejauhan mengingatkannya kepada Gunung Sembatu di Jelawang, di Amdan Negara, tempat dia sekali sekala di bawa berkunjung oleh datuknya Shakranta sewaktu kecil.
§
Wulan Sari bergegas-gegas ke pasar Kuala Lipis. Mardunisa anak perempuannya berusia lebih sedikit dua tahun sebelumnya sentiasa segar bugar. Kini dia tiba-tiba jatuh sakit. Wulan Sari perlu mencari dan membeli beberapa barang keperluan yang sesuai. Untuk di bawa sebagai buah tangan kepada Pak Dukun di pinggir kampung. Kerana dia biasanya agak keberatan untuk menerima sebarang bayaran berbentuk wang tunai.
Orang-orang di sekitar kawasan pasar masih ramai yang mengenali Wulan Sari. Dia pernah memiliki sebuah gerai dan berniaga di sana beberapa lama. Namun dia sudah berhenti seketika, sejak sarat mengandungkan Mardunisa sehingga kini.
Pak Dukun memberikannya beberapa jenis ubat kampung, termasuk akar-akar kayu, guna merawat anaknya. Pak Dukun berjanji akan datang menyusuli ke rumahnya dalam sehari dua untuk melihat sendiri mustajab atau tidak rawatan yang disyorkannya.
"Kalau ramuan yang ku berikan ini mustajab dan sakitnya reda, teruskan rawatan dengannya, tapi beransur-ansur kurangkan jumlahnya, hingga anakmu sembuh sepenuhnya. Kuatkan ketahanan tubuhnya dengan memberinya sedikit pucuk mengkudu sekali selang sehari, sebaiknya selepas sarapan pagi. Sama ada dimakan terus sebagai ulam bersama nasi. Atau dicelur dibuat sayur. Ataupun diminum air rebusannya.”
"Buat sementara waktu, itu sahaja. Namun, jika panas tubuhnya bertambah teruk, hentikan rawatan pucuk mengkudu itu segera. Redakan bahang pada badannya dengan memberi minum sedikit air rebusan pucuk betik atau pucuk manggis, ataupun campuran keduanya. Jangan dimandikan dia ketika tubuhnya dalam keadaan panas membahang. Kipaskan dia hingga tubuhnya agak sejuk terlebih dahulu.
"Baik, Pak Dukun,” ujar Wulan Sari.
"Hamba akan datang ke rumahmu untuk menjenguknya sendiri dalam sehari dua sambil-sambil berkunjung ke pekan Kuala Lipis,” demikian pesanan Pak Dukun kepada Wulan Sari.
Kebetulan hari itu agak ramai penduduk kampung yang mendatangi Pak Dukun. Hampir senja baru Wulan Sari selesai berbicara dengan Pak Dukun dan dapat beredar dari rumahnya. Jarak dari rumah Pak Dukun ke rumahnya agak jauh, tapi dia tiada pilihan selain meneruskan perjalanannya. Anak Wulan Sari yang sedang sakit itu pasti berbuat onar dengan Mak Tanjung, ibu mertuanya, jika menyedari ketiadaannya menjelang malam hari nanti.
Sambil mengelamun melayani kebimbangannya, Wulan Sari meneruskan perjalanannya. Matahari sudah mula terbenam di ufuk barat. Tiba-tiba …
Sejurus kemudian, dia kedengaran bunyi siulan disertai ketawa nyaring berdekah-dekah dari arah sekitar sebatang pokok meranti yang besar kira-kira dua puluh depa ke hadapannya. Kelihatan sekumpulan laki-laki yang tidak dikenalinya di situ. Beberapa buah tukil buluh kelihatan bergelimpangan di sekitar mereka. Bau masam air tuak tajam menusuk hidung Wulan Sari. Rupanya mereka sedang berpesta, fikirnya.
Kebanyakan mereka seperti sudah lebih daripada separuh mabuk. Lebih sepuluh orang semuanya, kalau tidak silap anggaran Wulan Sari. Dia terfikir untuk menukar hala dan bersembunyi seketika di celah-celah rimbunan pokok. Malangnya, seorang daripada mereka telah ternampak kelibatnya.
"Fiuwww,” orang itu bersiul lantang, tanda kagum dengan apa yang dilihatnya. "Oiii, kalian!” Orang itu bertempik menarik perhatian rakan-rakannya. Gaya tuturnya seperti orang Gelanggi Ayu. “Kalian lihat di sana. Mambangkah atau jembalang? Dewikah atau bidadari?”
"Waaahhh,” sahut seorang kawannya dengan pelat Palembang. “Kampung ini memang menarik. Di senja beginipun ada perawan cantik berjalan seorang diri di tempat sunyi begini.”
"Haiii, manisku,” sapa seorang lagi, cakapnya seperti orang Manjung. “Tidak sunyikah berjalan seorang diri di senja begini? Tidakkah takut nanti diganggu jembalang hutan? Marilah abang temankan kau pulang, sayang.”
"Benar katamu, Baduk,” ujar seorang lagi, kedengarannya seperti orang Jawa. Gaya pakaiannya juga. “Sudah begitu lama aku tidak bersua dengan seorang perawan secantik ini. Waduuuuuh. Memang dia seorang dewi. Maka dapatlah berpesta hebat kita semua malam ini nampaknya. Waaduuuuuh. Hwa ha ha ha ha ha ha ha ha.”
Kumpulan lelaki itu semakin galak riuh rendahnya dan semakin lantang gelak ketawanya. Sperti mereka tiba-tiba mendapat semangat baru.
Wulan Sari meraba-raba pedang Lindung Pertiwi yang tersandang di belakangya. Kedua kerisnya juga masih terselit erat di bengkungnya. Keris panjang di sisi kanan, keris pendek di sisi kiri.
"Eh, lihat tu Demang. Cik Adik kita ini lengkap bersenjata rupanya. Seorang serikandi rupanya dia.”
"Ohhh, Cik Adik kita ni gemar bermain senjata rupanya, ya Busu?” jawab Demang. “Mari, Dik. Mari bermain bersama abang. Ha ha ha ha ha. Abang punya senjata yang amat ampuh sekali buatmu. Abang akan membuat kau sungguh bahagia malam ini, sayang. Tubuhmu itu juga ku lihat tinggi besar serta segar bugar. Pastinya ia amat bertenaga. Bentuknya juga sungguh meggiurkan. Tidak tertahan lagi aku melihatnya. Ha ha ha ha ha ha ha ha ha.”
"Amboiiiii! Hebat benar petua datukmu, Baguk,” teriak seorang lagi. “Juadah istimewa untuk lelaki sejati. Panggang daging tupai jantan berlumur madu … dimakan bersama ubi badak bakar bercincah kelapa parut … diminum pula air tuak kelapa gading sebagai penyudahnya. Hinggakan senjataku sendiri kini begitu galak dan sasa sebaik saja mataku terpandang seorang wanita. Sampai tidak tertahan lagi rasanya. Mari ke sini, Dik. Marilah dekati abang. Biarku uji khasiat sang tupai jantan. Ha ha ha ha ha ha ha ha ha. Mari, sayang … mari.”
"Diam!!!” Wulan Sari tiba-tiba menengking lantang. “Lancang benar mulut kalian!” Pipinya yang putih melepak itu kini naik merah padam. Cuping telinganya mula terasa panas membahang bahana disindir dan dipersenda dengan bahasa biadab sebegitu rupa.
"Eh eh! Amboiii, amboi. Cik Adik kita ni … orang nak kawan dia nak lawan. Persis harimau betina pula gayanya. Langsung membuat hati harimau jantan ini semakin tertawan. Ha ha ha ha ha ha ha ha ha. Maka dirimu sejurus lagi pasti kan ku tawan. Ha ha ha ha ha ha ha ha ha.”
Wulan Sari tekad hatinya untuk menentang kumpulan bajingan itu habis-habisan. Kemurnian diri seorang wanita harus dipertahankan, walau apa pengorbanannya. Pantang menyerah sebelum alah. Pantang maut sebelum ajal. Pesanan datuknya Panglima Shankara tiba-tiba berkumandang di sanubari serikandinya.
Begitupun, hatinya tetap bimbang. Kudratnya hanyalah kudrat seorang wanita. Namun dia membenamkan segala keresahannya jauh ke lubuk jiwanya. Kini bukan masanya untuk dilayan sebarang sangsi dan ragu. Tidak langsung dibenarkan sebarang takut atau gundah terbayang walau sedikitpun di wajahnya. Berbuat demikian hanya akan merangsang serigala-serigala bangsat bernaluri haiwan pemangsa itu menjadi lebih liar dan buas lagi.
§
Sanjaya memecut kuda perangnya Gupta ke arah kumpulan bajingan itu, lalu merempuh mereka hingga terpelanting berselerak. Kuda itu mengangkat dua kaki hadapannya sambil meringkik bengis … lantas menendang menerjah segala yang berada di hadapannya. Bajingan itu cuba menentang … namun Gupta nyata terlalu perkasa bagi mereka. Tiga orang daripada mereka tercampak jauh terkena terjahan kuda besar itu.
Seorang daripadanya terus patah terkulai tengkuknya dan tumbang ke bumi. Seorang lagi patah beberapa tulang rusuknya lalu terus terduduk, langsung terbaring dan mengerang kesakitan. Seorang lagi terseliuh tangan kanannya lalu tidak lagi dapat menghayun senjata.
Belumpun lagi Gupta berhenti sepenuhnya Sanjaya melompat lalu menghambur seorang lagi bajingan sambil melibas pedangnya, hinggap di sisi kepalanya dan putus melayang telinganya, lalu terus tumbang dengan darah memancar-mancar dari kepalanya yang robek. Seorang lagi menerkam Sanjaya dengan sebilah kelewang panjang. Dielak oleh Sanjaya sambil meradak kerisnya ke perut orang itu. Lalu terburai seluruh isi dan tali perutnya. Bau busuk dan hancing menusuk ke hidung Wulan Sari beberapa detik sebelum bajingan itu pergi meninggalkan alamnya.
Seorang lagi menyerbu Sanjaya sambil mengangkat pedangnya tinggi. Sedetik sebelum dia mula menghayun pedangnya itu semula ke bawah, ke arah muka Sanjaya, panglima itu dengan secepat kilat menerpa ke depan lalu menghantuk kepalanya ke muka musuhnya. Patah remuk batang hidung orang itu, lalu meleleh-leleh darah merah kesumba mengalir keluar dari hidungnya.
Bajingan itu tergamam seketika, manakala pernafasannya pula kini terganggu. Belumpun sempat dia bertindak balas Sanjaya terus berputar badan dan menyusul dengan tendangan terjah kuda ke dadanya hingga mengeluh kesakitan sambil tercungap-cungap kerana semakin bertambah sukar pernafasannya. Dalam orang itu terkial-kial, Wulan Sari merembat rusuknya dengan Lindung Pertiwi, hancur berkecai tulang rusuknya. Seorang lagi bajingan tersungkur.
Gupta seekor kuda gergasi. Sungguhpun baru mencecah tiga tahun usia. Berwarna perang emas, berjalur putih memanjang di muka, bertompok putih di keempat kaki seakan dicelup susu. Berbaka destrier, iaitu sejenis kuda penggempur. Berketurunan daripada sepasang kuda juang Norman yang dibawa balik oleh Raja Shakranta dari Byzantium enam puluh lima tahun yang lalu. Bahu dan dadanya besar sasa, laksana seorang perwira. Langkahnya panjang dan gagah. Gaya pergerakannya sentiasa anggun dan agus. Ketika anginnya baik, Gupta amat gemar dibelai-belai dan digosok-gosok.
Ia juga amat teruja bila ditonggang meligas merejang di padang luas saujana mata memandang. Seperti ia memahami itu suatu tugas yang penting. Di samping memberinya peluang bergerak cergas bebas sambil bersiar-siar menghirup udara segar dalam suasana ceria alam semula jadi. Kerana nalurinya naluri haiwan merdeka.
Bulu Gupta begitu lebat. Lalu Sanjaya membiarkannya tumbuh panjang kerana membuatnya kelihatan bertambah hebat. Persis seorang pahlawan berambut panjang dan lebat. Bulu dahi Gupta kini mencecah paras hidungnya. Manakala bulu tengkuknya sudah jatuh mencecah paras lututnya bila dilepas bebas tanpa berpintal.
Gupta pasti menakjubkan dan menggerunkan barang siapa yang baru melihatnya kali pertama. Sanjaya yang tinggi besar itu pun di puncak kepalanya hanya mencecah paras dada Gupta. Itupun bila Sanjaya berdiri dengan berjengket kakinya. Menurut anggaran Sanjaya berat badan Gupta hampir menyamai dua puluh orang lelaki bertubuh tinggi besar sepertinya. Sanjaya suka berbari, katanya Gupta yang sedang ditonggangnya merejang laju pernah terlanggar seekor seladang jantan dewasa yang dengan tak semena-mena muncul melintasi laluan mereka, semasa dia berburu di hutan. Seladang itu terpelanting jauh hingga tercampak ke dalam paya bersebelahan jalan.
"Terima kasih lagi, tuan hamba,” Wulan Sari bersuara kembali. “Begitu perkasa kuda tonggangan tuan hamba ini. Tidak pernah seumur hidup hamba melihat kuda sebesar dan segagah dia. Dari manakah tuan hamba memperolehinya?”
"Ohhh! Hamba kenalkan, ini Gupta” tingkah Sanjaya sambil mengusap-usap muka, kepala dan tengkuk kuda setia kesayangannya itu. Haiwan besar itu lantas tegak kedua telinganya dan terangkat-angkat ekornya tanda galak apabila terdengar namanya disebut tuannya. Ia meringkik manja.
"Gupta, ini sahabat baru kita, Wulan Sari,” Sanjaya berbisik lembut kepada kudanya, seolah-olah kuda itu memahami tutur katanya.
"Gupta ini kuda perang Norman, berbaka destrier,” Sanjaya menerangkan kepada Wulan Sari. “Berketurunan daripada sepasang kuda Norman yang dianugerahkan kepada datuk hamba oleh Maharaja Basileios, maharaja negeri Byzantium. Daripada baka terbaik di kalangan kuda-kuda perangnya.”
"Ohhh,” balas Wulan Sari. “Patutlah gagah dan sasa gayanya. Sekarang baru hamba ingat cerita bapa hamba. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai keberanian Shakranta dalam menyelamatkan putera dan puteri saudara permaisuri baginda daripada ditawan oleh sekumpulan bajingan liar.”
"Begitulah kira-kiranya kisahnya.”
"Dan yang ini … temannya ini ... yang hamba tonggang ini?” tanya Wulan Sari sambil mengusap-usap bulu tengkuknya, membuatnya meringkik manja. "Dia tidak begitu besar … namun tetap tangkas dan anggun gerak-gerinya.”
"Ini Pradhana. Kuda Kambhoja.”
"Maksud tuan hamba … kuda dari Kemboja Negara, atau negeri Angkor itu?"
"Tidak," jawab Sanjaya. "Negeri Kambhoja yang asal, di wilayah barat pergunungan Himalaya, di Benua Hindi. Negeri yang juga digelar orang digelar orang Negeri Padang Kuda. Kuda Kambhoja yang terlatih mengatasi segala kuda dari segi kepantasan dan keberaniannya. Orang Arya Hindi di Banjaran Himalaya memanggil kuda ashva dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Sanskrit. Maka mereka juga menggelar sepuak orang Kambhoja yang amat hebat menonggang kuda sebagai Ashvaka, bererti penonggang kuda. Kata orang, Vishnuvardhana raja negeri Hoysala membina kegemilangan kerajaannya atas kehebatan gerombolan kuda Kambhojanya yang pantas dan tangkas."
"Hebat tu,” ujar Wulan Sari. “Tuan hamba begitu arif tentang kuda. Dari manakah tuan hamba belajar?”
"Nenek dan bapa hamba yang mendidik hamba tentang kuda sejak kecil lagi. Mereka memang pakar benar mengenainya. Mungkin mereka secara semula jadi mewarisi ilmu yang dimiliki oleh nenek moyang mereka sejak zaman berzaman.”
"Tapi setahu hamba di rantau ini amat kurang sekali bilangannya orang-orang yang memiliki ilmu seperti itu.”
"Memang benar. Namun nenek dan bapa hamba bukan berasal dari rantau ini.”
"Oh ya. Hamba terlupa pula. Lalu dari manakah asalnya mereka?”
"Nenek hamba Isabelle orang Sakhsun ... dari sebuah negeri bernama Angli Land ... di sebuah pulau bernama Britannia. Manakala bapa hamba Ozalan anak seorang pahlawan perantau Oghuz dan seorang wanita Bolgar, di lahirkan di sebuah negeri bernama Bolgaria, bersempadan dengan negeri Byzantium. Mereka bertemu dengan datuk hamba Shakranta semasa dia berkunjung ke Byzantium ... lalu ikut belayar bersamanya apabila dia pulang ke Langkasuka. Isabelle akhirnya berkahwin dengan datuk hamba. Dan Ozalan kesudahannya mengahwini Chinta Kirana, puteri mereka berdua, iaitu ibu hamba.”
"Dan berpunca daripada Shakranta juga, bapa hamba saudagar Mehrdad, anak sahabat Shakranta iaitu Panglima Ashgar, datuk hamba, tergerak hati untuk belayar bersama Ozalan dari Parsi hingga ke Langkasuka, lalu bertemu dengan Nila Kurnia ibu hamba, yang juga menjadi sahabat baik Puteri Chinta Kirana, semasa dia sekeluarga berkunjung ke kediaman keluarga tuan hamba di Bukit Panau. Sebuah kisah yang sungguh menakjubkan.”
"Kisah keluarga kita berdua yang saling bertaut begitu rapat.”
"Bolehkah hamba belajar daripada tuan hamba tentang selok belok ilmu kuda suatu hari nanti?”
"Tentu sekali,” jawab Sanjaya. “Hamba akan bahagia untuk melakukannnya.”
Mereka berdua terdiam sejenak.
§
Sanjaya lalu memandang Wulan Sari. Panglima itu seperti terpegun seketika.
Elok saujana raut durjanya, bukan semenjana
Segar bersinar matanya, galak ceria
Kuning langsat kulitnya, molek sempurna
Putih semerdanta giginya, berbaris sekata
Renungannya begitu tajam, seperti layangan panah yang tidak mungkin dielak atau ditangkis, fikir Wulan Sari.
"Mengapakah tuan hamba merenung hamba begitu?” tanya Wulan Sari.
"Oh!” jawab Sanjaya tersentak. “Maafkan hamba. Hamba tidak menyedarinya. Bukan hamba ingin mengganggu. Tuan hamba terlalu cantik. Sinar durja tuan hamba bagaikan seri bulan yang sedang penuh mengambang. Memang kena dengan nama tuan hamba, Wulan Sari. Ia pasti membuat terpegun gerangan jejaka manapun yang terpandang.”
Wulan Sari tersenyum bersahaja. “Tuan hamba terlalu memuji,” balasnya. Namun hatinya terasa sungguh teruja.
§
Langsung, dalam begitu asyik berbual mesra, tanpa disedari mereka rumah Wulan Sari pun sudah kelihatan.
"Oh! Sudah sampaipun kita. Itu dia rumah hamba.”
"Waaah! Agak agam juga. Dan amat indah seni binanya.”
"Jemputlah singgah seketika. Mak Tanjung pun hamba rasa belum tidur lagi ni.”
"Mak Tanjung?”
"Ibu mertua hamba.”
"Tak mengapalah, Wulan Sari. Hamba khuatir, nanti timbul desas-desus lain yang tidak enak didengar di lain hari.”
"Aaaahh. Jangan terlalu dirisaukan perkara sebegitu. Hamba akan tahu menguruskannya. Lagipun, bukannya hamba tinggal seorang diri. Tambah lagi, tuan hamba mengalami beberapa kecederaan yang agak parah dan harus dirawat segera. Kalau tidak, boleh memburat lalu membahayakan diri tuan hamba.”
"Tuan hamba fikir begitu?”
"Ya. Dan lagi, kalau Mak Tanjung tahu hamba telah diiring pulang ke rumah oleh Panglima Sanjaya yang telah tercedera parah kerana menyelamatkan diri hamba, dan hamba tidak mengajaknya singgah di rumah walau seketika, tentu panjang bebelnya. Kebetulan pula, Pak Dukun berjanji dengan hamba akan singgah di rumah hamba untuk menjenguk anak hamba dalam sehari dua. Bolehlah dia memeriksa keadaan tuan hamba dan memberikan barang sedikit rawatan yang sewajarnya.”
§
Cuaca kemarau yang agak panas membuat membuat Wulan Sari terjaga beberapa kali daripada tidurnya. Peristiwa mencemaskan petang tadi datang semula berulang kali mengusiknya di alam mimpi. Lewat tengah malam dia bangun dan menjerang air untuk di buat minuman teh berperisa manggis. Ia suatu amalan yang lazim dilakukannya untuk mententeramkan dirinya ketika terlalu resah.
"Ayaaahhh ... Ayaaahhh!” Terdengar suara tangisan anak kecil yang membuatnya tersentak.“ Mardunisa anaknya rupanya ... termimpikan arwah bapanya hingga terigau-igau. “Jangan tinggalkan Madu. Ayaaahhh.”
Ternyata anak itu masih amat merindui bapanya Adhi Jaya, arwah suami Wulan Sari yang telah pergi meninggalkan mereka berdua untuk selama-lamanya. Kapalnya pecah dan karam dipukul badai di tengah lautan dalam pelayaran pulang dari Champa hampir dua tahun berlalu.
Wulan Sari menghampiri Mardunisa lalu memeriksa keadaannya. Wajahnya sudah kelihatan jauh lebih bermaya daripada semalam. Tubuhnya pun sudah agak dingin. Tidak sepanas waktu siang tadi. Penawar Pak Dukun itu agak mujarab, fikir Wulan Sari. Dia mencelup segumpal kain usang ke dalam mangkuk berisi air ramasan daun limau nipis, dan membasah-basahkan seluruh kepala dan muka anaknya itu dengannya. Kemudian dia mencapai sebiji bantal lalu merebahkan dirinya di sisi Mardunisa ... menyambung tidurnya kembali. Dia terlena ... nyenyak ... hingga sinar suria pagi menyelinap masuk melalui jendela.
§
"Mak! Mak!” suara nyaring Mardunisa menyedarkan Wulan Sari daripada tidur paginya. Tidur ganti kerana banyak berjaga malam sebelumnya.
"Ya, Madu. Ada apa, Sayang?” Wulan Sari mengusap-usap rambut dan pipi anaknya. Anak itu kelihatan begitu teruja. “Sayang dah makin sihat nampaknya.”
"Mak, Mak. Madu jumpa ngan Ayah. Dia tengah tidur. Madu kejut dia. Madu suruh dia bangun. Tapi dia tak sedar. Dia duk tidur lagi.”
"Hah???” Wulan Sari bingkas bangun dengan begitu terperanjat. “Masya Allah ... Ya Tuhan. Ke manakah kau pergi tadi, Madu?” Di kepalanya terbayang pelbagai macam bayangan.
"Ayah ada kat rumah Abang Anjang ... dia tidur kat sana ... sama Abang Anjang,” jawab Mardunisa beriya-iya sekali.
Wulan Sari terpinga-pinga seketika. Kemudian dia teringatkan tentang Sanjaya yang memangnya tidur di rumah Anjang.
"Ohhh,” balas Wulan Sari dengan rasa lega semula. “Betul ka orang itu Ayah atau ... mungkin ka orang lain?”
"Misai dia ... macam misai Ayah,” ujar Mardunisa.
"Pffft," Wulan Sari cuba menahan geli hatinya. “Baiklah, Sayang. Nanti kita jumpa dia lagi tengah hari nanti. Sekarang biar dia tidur dulu. Dia penat la tu agaknya.”
§
Mardunisa merayau-rayau sekali lagi hingga sampai ke rumah Anjang. Dia berdri di ambang pintu dan meninjau-ninjau ke dalam. Orang yang tadi difikirkannya ayahnya itu sudah bangun. Sedang duduk bersila .. menghisap rokok daun ... berkepul-kepul asapnya ... seperti ayahnya juga gayanya.
"Hai, Nak,” Sanjaya menyapa Mardunisa. “Anak siapa ni? Cantik dan comel sekali. Apa nama anak?”
"Ma du ni ca,” jawab anak itu.
"Ohhh,” balas Sanjaya. “Ma du ni ca. Namanya pun cantik benar. Anak Wulan Sari ka?”
"Ya.”
"Ohhh. Patutlah cantik dan comel. Macam maknya juga. Mak tengah buat apa?”
"Mak masak. Sama Nenek. Acik ni ... kawan Ayah ka?”
"Umm ... tidak. Acik ... ummm ... kawan Mak.”
§
"Anakmu itu sudah kembali sihat ... sudah hampir seperti biasa kelihatannya,” ujar Pak Dukun.
"Ya, Pak Dukun,” balas Wulan Sari. “Nampak-nampaknya begitulah. Mustajab benar penawar yang Pak Dusun berikan.”
"Kalau begitu, baguslah,” sambung Pak Dukun. “Selain itu, hamba lihat ada beberapa tompok kecil kudis di lengan dan betisnya.”
"Memang betul, Pak Dukun,” tingkah Wulan Sari. “Si Madu tu suka sangat bermain-main di tempat berlumpur dan berbecak. Dia juga terlalu gemar menangkap ikan sempilai di tempat berlopak dan berpaya. Mungkin itulah sebabnya.”
"Untuk menghilangkan kudisnya itu, amalkan membasuh lengan dan betisnya dengan air ramasan daun pokok terajam semasa mandi. Ia baik untuk membersihkan kotoran dan menyembuhkan jangkitan. Buat berulang kali sehingga baik sepenuhnya.”
"Baik, Pak Dukun,” ujar Wulan Sari. “Akan hamba lakukan itu.”
"Langsung pula, bagaimana dengan sahabatmu yang cedera itu?”
"Panglima Sanjaya? Oh! Dia masih berisytirehat di rumah abang hamba. Ditemani anak saudara hamba, Anjang. Itu rumahnya.”
"Kalau begitu, boleh kita ke sana segera? Supaya hamba dapat memeriksa kecederaannya.”
"Sudah tentu, Pak Dukun. Ayuh kita pergi sekarang juga. Panglima Sanjayapun, dia memang ternanti-nanti kedatangan Pak Dukun.”
§
Sudah dua minggu Sanjaya berisytirahat di rumah Anjang anak saudara Wulan Sari yang kebetulan tidak berapa jauh dari rumah Wulan Sari. Rupa-rupanya kecederaannya lebih parah daripada yang disangka pada mulanya.
"Hai! Terdengar suara Mak Tanjung. "Ada orang tu sejak akhir-akhir ni macam bahagia benar di hatinya. Seri durjanya bagaikan menerangi seluruh alam.”
"Ibuuu,” balas Wulan Sari. “Apa yang ibu cakap ni? Pagi-pagi lagi dah menyindir orang. Haaaiii, entahlah Bu. Apa nak jadi pun tak tahu.”
"Heh! Kura-kura dalam perahu,” sambung ibu mertuanya itu. “Sudah gaharu cendana pula. Pura-pura tidak tahu. Sudah tahu bertanya pula. Eh Wulan, ku lihat sehari dua ini kau kelihatan begitu bahagia sekali. Sudah begitu lama aku tidak melihat kau ceria sebegini. Mungkinkah kerana kehadiran Panglima Sanjaya dalam hidupmu? Alangkah eloknya kalau dia masih bujang … ataupun … seorang duda. Kan?”
"Eh eh, Ibu ni. Ke situ pulak perginya.”
"Janganlah kau cuba berselindung denganku, Wulan. Aku ini kan orang lama. Sekelibat ikan di air, sudahku tahu jantan betinanya. Aku tahu tanpa diberitahu … kau suka padanya, kan? Kau jangan sangka, Wulan. Dalam dunia ini, tiada apapun yang mustahil, kau tahu? Kata orang, kalau dah jodoh, ikan di laut asam di darat, di dalam kuali bertemu jua. Hah, misalnya, pernahkah kau terbayang bahawa dia dengan tak semena-mena akan muncul di wilayah ini di suatu senja ... lalu menyelamatkan dirimu daripada sekumpulan bajingan? Bukankah itu jodoh pertemuan namanya?”
"Hai, entahlah Bu,” jawab Wulan Sari. “Ibu ni … kekadang … ada-ada aja. Panglima Sanjaya tu, kan ka dah berkeluarga orangnya, Bu? Dah beristeri dan punya seorang anak.”
Namun ada juga sedikit sebanyak benarnya celoteh orang tua itu, fikir Wulan Sari. Dia terus mengelamun sambil membasuh beras untuk dijerang bagi makan tengah hari.
§
"Wulan, Anjang,” ujar Sanjaya. “Hari ini cuacanya elok sekali. Amat sesuai untuk belajar menonggang kuda. Mari kita ke bendang."
Hati Wulan Sari yang sebelum ini teruja untuk belajar menonggang kuda tiba-tiba menjadi gundah dan mushkil bila melihat kedua kuda Sanjaya begitu bermaya gayanya. Dia terbayang dirinya jatuh terpelanting ke tanah daripada seekor kuda yang sedang berlari deras lalu mengalami cedera parah.
“Tapi tuan hamba,” jawab Wulan Sari dengan nada berbaur gelisah. “Hari dah dekat nak senja. Apa kata kalau ... kita mula besok aja?”
“Aaah. Jangan banyak alasan lagi. Tanah di bendangpun belum di bajak lagi. Ia kering dan kejap di waktu kemarau begini. Elok benar untuk menonggang. Gupta dan Prakasha ... mereka berduapun sudah begitu lama tidak berpeluang untuk berlari bebas dan pantas di padang luas.”
“Benar, Mak Ngah,” ujar Anjang menyokong Sanjaya. Anak muda itu seperti tidak sabar-sabar lagi. “Kata Datuk Panglima itu ... memang ada betulnya. Lagipun ... lebih cepat kita bermula ... nanti ... lebih cepat kita pandai. Kita juga yang rugi kalau dilengah-lengahkan.”
“Ya lah, kau tu. Kalau dah jatuh terpelanting nanti baru kau tahu, Anjang.”
“Wulan, tuan hamba tidak perlu terlalu gusar. Kita mula dengan perlahan-lahan. Kedua kuda hamba ini cukup terlatih. Mereka tidak akan bertindak liar dengan tiba-tiba. Sesudah tuan hamba bertambah yakin ... barulah kita cuba berlari pantas sedikit.”
“Anjang nak tonggang Gupta,” ujar Anjang seperti tidak tertahan lagi keghairahannya. “Dia besar agam. Pasti hebat bila di tonggang.”
“Sabar, Anjang,” jawab Sanjaya cuba meredakan anak muda itu. Semangat anak muda tinggi lampai yang berkobar-kobar itu agak merisaukan Sanjaya. “Sabar dulu. Kau biasakan dirimu dengan Pradhana dulu. Dia lebih kecil dan lebih mudah dikendali. Nanti bila kau dah lebih pandai, baru Pak Cik bagi kau cuba menonggang Gupta pula.”
§
Anjang menonggang Pradhana, diringi Sanjaya yang menonggang Gupta. Mereka meredah tanah sawah hingga sampai nun jauh ke lereng bukit. Kemudian bertukar hala dan berpatah balik. Seterusnya mengulanginya. Mula-mula mereka menonggang agak perlahan. Semakin lama, tonggangan mereka semakin laju. Akhirnya, apabila menghampiri Wulan Sari semula mereka memperlahankan larian kuda tonggangan mereka itu. Kedua mereka melompat turun dari kuda mereka.
“Hebat!!!” ujar Anjang yang kelihatan begitu ceria dan teruja.
“Nah, Wulan Sari. Lihat si Anjang tu. Betapa girangnya dia. Kini giliran tuan hamba pula.” ujar Sanjaya. Dia menjalin jari-jarinya daripada kedua belah tangannya dan mengajum Wulan Sari. ”Mari hamba bantu. Mudah sahaja. Berpijak pada tangan hamba ini dan panjat naik ke atas belakang Pradhana. Hamba akan mengiringi tuan hamba bersama Gupta.”
“Err ... mmm ... tunggu dulu,” jawab Wulan Sari teragak-agak dengan nada gugup. “Ha ... hamba ... belum bersedia lagi.”
“Wulan Sari,” pujuk Sanjaya. “Tuan hamba tidak sedikitpun menunjukkan rasa gentar ketika berhadapan dan bertempur dengan tiga belas orang bajingan liar. Mengapa pula harus gementar bila hendak menonggang sekeor kuda?”
“Tuan hamba Sanjaya,” jawab Wulan Sari. “Bertenggek di atas kuda yang berlari sekencang ribut tidak sama dengan berdiri dan bertempur di atas bumi. Ia jauh berbeza. Bila hamba berada di bumi, diri sendiri yang mengawal keadaan. Bumi yang menampung tubuh hamba, ia sedikitpun tidak berganjak. Tetapi, berada di atas kuda, nyawa hamba bergantung pada kerenah seekor haiwan.”
“Ohhh. Baru hamba faham kebimbangan tuan hamba. Namun menonggang juga, seperti bertempur, sebenarnya adalah suatu kepandaian. Ia sesuatu yang boleh dipelajari. Lebih-lebih lagi, ia harus dipelajari oleh setiap pahlawan. Tidakkah tuan hamba terasa gugup kali pertama tuan hamba belajar berenang ... atau ... bermain keris atau pedang?”
“Ya. Namun gugup itu beransur-ansur hilang apabila sudah biasa.”
“Maka begitu juga dengan menonggang.”
‘Mungkin itu benar.”
“Baiklah ... kalau tuan hamba masih terlalu takut untuk menonggang Pradhana seorang diri ... mari. Kita menonggang berdua,” kata Sanjaya sambil melompat naik semula ke atas belakang Gupta. “Nah ... pegang tangan hamba ini ... panjat ke belakang Gupta ... dan duduk dengan selesa dan teguh di belakang hamba.”
Belumpun sempat Wulan Sari berbuat apa-apa, terasa tangan Sanjaya merangkul lengannya di bahagian bahunya dan menariknya naik duduk di belakangnya di atas kuda besar itu. Tangannya itu begitu sasa, fikir Wulan Sari.
“Berpegang erat pada baju atau bengkung hamba ... agar tidak terjatuh,” ujar Sanjaya. “Dan berpeluk pada pinggang hamba jika perlu.”
Wulan Sari tersenyum kemalu-maluan ... namun kini sudah terlalu lewat untuk menolak. Kuda itu mula bergerak sebaik saja terasa geselan dan gertakan kaki Sanjaya di bahagian sisi perutnya ... ia menderap agak perlahan saja pada mulanya ... kemudian meligas semakin lama semakin deras ... hingga akhirnya merejang sepenuhnya selaju taufan rasanya.
Tanpa disedari Wulan Sari, tangannya tiba-tiba memeluk erat pinggang Sanjaya ketika dirinya terasa seperti hendak tergelongsor ke belakang ketika Gupta mula meligas agak laju. Dia bertempik takut, namun Sanjaya mententeramkan kebimbangannya. Keperkasaan haiwan yang ditongganginya itu kini seperti memberinya keyakinan yang semakin lama semakin menebal. Lama kelamaan takutnya beransur hilang ... beransur-ansur bertukar pula menjadi seronok ... hingga akhirnya hilai tawanya terdengar di seluruh bendang. Sanjayapun ikut tertawa keriangan.
“Eiiiii!!!” si Anjang bertempik teruja sambil bertepuk tangan di pinggir bendang. Sudah sekian lama dia tidak mendengar ibu saudaranya Wulan Sari mengilai kegirangan sebegitu. “Fiuwww!!!” seterusnya dia bersiul lantang tanda ceria melihat telatah mereka berdua.
“Besok kita menonggang lagi ya, Datuk Panglima,” tingkah Anjang.
“Umm ... rasa hamba ... besok kita beri peluang kepada Wulan untuk berehat. Kau ada belajar bersilat, Anjang?”
“Sikit-sikit tu adalah, Datuk Panglima. Tapi sekadar gerak-gerak asas aja.”
“Gerak-gerak asas itulah yang paling utama. Kerana ia membentuk tapak untuk kita berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Biar kita berdua saja berlatih tempur. Oh! Ajak mana-mana kawanmu yang berminat untuk ikut serta. Kita bertiga menonggang semula lusa.”
“Baik, Datuk Panglima. Akan hamba warwarkan kepada kalangan kawan-kawan hamba.”
§
Mak Tanjung melangkah masuk ke dapur tanpa sepatah kata. Mukanya masam mencetum.
“Hai, Ibu,” Wulan Sari menyapa. “Cuaca nampak tidak begitu baik hari ni. Agak berlainan daripada biasa. Entah apakah sebabnya.” Sungguhpun lembut bahasanya, tetap terasa sindirannya.
Mak Tanjung terus diam membisu.
“Ibu tak sihat ka?”
“Bukannya aku tak sihat. Tu, dekat pasar tu, hampir setiap manusia yang berselisih denganku menyindirku. Memerliku. Hah, kata mereka, memang betul seperti pepatah orang tua. Air tenang jangan di sangka tak ada buaya.”
“Wulan tak faham la, Bu. Apa maksud mereka?”
“Hah, pasal kau tu lah. Kata mereka ... sungguh menghairankan ... mengapa agaknya si Wulan tiba-tiba menjadi miang. Menggatal macam nak rak di bendang dengan orang asing yang baru sehari dua muncul di kampung ini.”
“Maksud Ibu, peristiwa Wulan belajar menonggang kuda dengan Sanjaya semalam? Habis mengapa Ibu tidak menjawab tohmahan liar mereka? Lagipun, bukankah Ibu sendiri yang sebelum ini selalu mengusik Wulan supaya menggoda Sanjaya? Sekarang, bila Wulan menjadi bahan caci dan nista yang tidak berasas, Ibu pula yang tidak dapat membela Wulan.”
“Entahlah, Wulan. Akupun dah mati akal ni. Tak tahu apa yang nak dicakapkan lagi.”
“Ibu, sejak kehadiran Sanjaya di sini, Wulan tidak pernah membiarkan diri Wulan berada dalam keadaan berdua-duaan dengannya tanpa kehadiran orang ketiga. Ibu, Wulan masih berpegang teguh pada adat. Di bendang, di dusun, di rumah, di mana-manapun, sama ada Anjang ataupun Ibu sendiri sentiasa ada bersama Wulan. Ibu, biarlah mulut orang berkata apa yang nak dikata. Yang pentingnya, Wulan tidak pernah berbuat serong. Anjang dan Ibu sendiri yang menjadi saksinya.”
“Ada benarnya katamu itu. Baiklah. Bermula detik ini, aku tidak akan berdiam diri lagi jika diserang oleh mulut sesiapa. Barang siapa yang terlalu biadap cakapnya tentangmu akan merasa penangan mulutku.”
“Dan Wulan tidak akan tawar hati walau sedikitpun untuk terus belajar selok belok ilmu kuda daripada Sanjaya. Kerana dia orang yang amat mahir dalam bidang itu. Wulan baru mula memahami kehebatan kuda sebagai haiwan yang paling berguna. Ia boleh menjadi haiwan kenderaan, haiwan pengangkut barang-barang dan sebagainya. Kuda ladang yang bertubuh besar boleh kita gunakan di sawah sebagai haiwan pembajak yang jauh lebih gagah daripada lembu atau kerbau. Kuda tempur boleh kita jadikan sahabat dan pengiring yang boleh membantu dan melindungi kita jika diserang musuh. Biarlah apa orang lain nak kata. Wulan nekad untuk belajar ilmu ini selama Sanjaya ada di sini. Dan Wulan akan lakukan itu bersama Anjang.”
“Baiklah, Wulan. Aku tahu hati budimu. Hanya sikap mereka yang membuatku gedik. Aku akan membelamu.”
“Dan tanyakan kepada mereka ... adakah sesiapa di kampung ini yang sanggup menyabung nyawanya seperti Sanjaya ... menentang tiga belas orang bajingan liar ... untuk menyelamatkan maruah dan nyawa seorang wanita yang tidak dikenalinya?”
§
Di hari esoknya, Anjang membawa dua puluh orang kawan-kawannya ikut serta berlatih tempur dengan Sanjaya. Wulan Sari dengan beberapa kawan rapatnya, serta beberapa orang anak gadis kampung yang meminati ilmu persilatan ikut memerhatikan mereka.
"Kami juga ingin belajar menonggang dan bertempur, Datuk Panglima,” ujar Teja Ratna, salah seorang daripada mereka. “Sudilah kiranya Datuk mengajarkan kepada kami sedikit sebanyak ilmu yang Datuk miliki. Sekurang-kurangnya setakat mana yang mampu kami terima.”