Friday, August 2, 2013

Bab 8: Ratu Seri Ayu

Raja Shakranta bersara dari takhta Amdan Negara apabila telah lanjut usia. Tampuk pemerintahan diserahkan kepada puteri tunggalnya Chinta Kirana. Manakala dia sendiri diangkat menjadi Penasihat Khas Diraja. Kepimpinan bala tentera pula diambil alih oleh menantunya Putera Ozalan.

Sejak peringkat terawal ditabal menjadi ratu memerintah, dengan gelaran Ratu Agung Seri Dharma Amdan Negara, Chinta Kirana berazam nekad untuk memperhebat  iktisad Amdan Negara sebagai negeri berdagang. Manakala soal pertahanan dan ketenteraan dikendalikan sepenuhnya oleh suaminya Ozalan sebagai Panglima Agung, Chinta Kirana pula menumpukan seluruh daya usaha untuk mempertingkat kegiatan dagang dengan pelbagai negeri jauh dan dekat.

 
Baginya, soal pertahanan dan ketenteraan harus dikendalikan secara berseimbang dengan soal perdagangan. Kerana, kecuali sesebuah negeri itu teranugerah melimpah ruah dengan hasil alam, jika tidak cukup hasil negeri daripada kegiatan perdagangan, tidak mungkin negeri itu boleh mencapai kemakmuran yang boleh dikongsi bersama oleh seluruh rakyat jelata, apatah lagi hendak menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk pertahanan dan ketenteraan.

Para juragan dan pedagang dari negeri China, benua Hindi, tanah Arab dan bumi Parsi, serta kawasan sekitar Rantau Tenggara sendiri mengagumi bakat saudagar yang sejadi pada diri Chinta Kirana, diwarisi daripada nendanya Kembang Seri Wangi. Sementara kerana gaya dan perwatakannya yang lincah cergas serta raut wajahnya yang cantik jelita pula, mereka menggelarnya Ratu Seri Ayu.

No comments:

Post a Comment