Friday, August 2, 2013

Bab 50: Ku Sangka Panas Hingga ke Petang, Rupanya Hujan di Tengah Hari


Sanjaya berjalan perlahan-lahan meninggalkan kediaman sahabatnya, Panglima Daman Lela. Timbalannya itu entah mengapa kelihatan begitu ceria sepanjang waktu Sanjaya berada di rumahnya. Mungkin dia merasa bahagia selepas bala tentera Kedah Negara pimpinan mereka berdua bersama Putera Ayudhika berjaya menumpaskan angkatan Maharaja Dharma Vira, saudara sebapa kepada Putera Ayudhika. Kini Kedah Negara lepas bebas sepenuhnya daripada pertuanan Palembang. Maka rakyat Kedah Negara hanya menunggu masa untuk menyaksikan pertabalan Putera Ayudhika, anak jati Kedah Negara, sebagai raja yang baru.

Angin musim hujan yang semakin dingin di lewat petang mula terasa mengusik di kulit Sanjaya. Sesuatu yang agak menghairankannya, kerana selama ini tubuhnya tidak begitu mudah terganggu oleh sebarang rasa kedinginan. Dirinya juga terasa seolah semakin lama semakin kurang bermaya. Entah apa sebabnya Sanjaya terasa seperti ada sesuatu yang mengikutinya selain daripada dirinya di belukar yang sunyi sepi itu. Begitupun, dia terus berjalan pada kelajuan biasa. Musuh yang berniat jahat, kalaulah ada, hanya akan bertambah terangsang semangat mereka jika mereka merasakan kita resah atau bimbang, fikirnya.

§
Raja Patani yang telah gering tua sekian lama akhirnya telah meninggal dunia. Puteranya yang masih berusia tujuh tahun segera ditabal menjadi raja baru sebagai pengganti. Namun dengan usia baginda yang begitu muda, ayahanda saudaranya, iaitu saudara sepupu ayahanda baginda dilantik menjadi pembimbing raja sehingga raja baru itu mencapai usia dewasa. Maka kerana raja yang masih kecil itu rata-rata menyerahkan segala keputusan tentang hal ehwal negeri kepada pembimbing baginda, jadilah ayahanda sepupunya itu orang paling berkuasa di istana, melebihi kuasa bendahara.

Tidak lama selepas itu, raja Ligor yang mendapat khabar tentang kematian raja Patani telah menghantar segerombolan tenteranya untuk menyerang Patani. Rupa-rupanya, inilah saat yang dinanti-nanti oleh pembimbing raja yang sudah lama mengidam untuk merampas kuasa. Tidak disangka, dalam diam-diam beliau rupanya telah membuat pakatan dengan sahabat lamanya Timbalan Panglima Utama, mencari jalan terbaik untuk kedua-duanya mencapai impian masing-masing yang terpendam sekian lama.

Panglima Sanjaya lalu dititahkan oleh raja baru, atas nasihat ayahanda sepupu merangkap pembimbing baginda, supaya memimpin sekumpulan pahlawan Patani untuk memintas tentera Ligor dan mematahkan serangan Ligor di laut luas. Sekembalinya beliau, Panglima Sanjaya dititahkan supaya terus singgah di kediaman pembimbing raja untuk memberi laporan tentang hasil usaha gerombolan pimpinannya.

...

Dalam perjalanannya pulang dari pekan Rabu, Aryaputra melalui kawasan belukar kira-kira sepenanak nasi dari rumahnya. Di satu tempat, dia terdengar terdengar suara seperti orang mengerang amat kesakitan, datangnya dari sebalik serumpunan pokok semak yang tebal. Nada suaranya seperti begitu biasa didengari. Apabila dihampirinya ke arah suara itu lagi, alangkah terkejutnya bila didapati suara itu ialah suara ayahnya sendiri Sanjaya. Seluruh tubuhnya berlumuran darah, kaki dan tangannya kelihatan lemah layu, air mukanya pucat lesi.

“Ayah!” Aryaputra menjerit. “Apakah yang sudah terjadi, ayah?”

“Yaya! Mujurlah kau melalui jalan ini. Memang jenuh aku berhempas pulas untuk sampai ke sini. Dengan harapan bertemu denganmu. Ku tahu kelazimanmu. Kau tidak pernah ketinggalan berkunjung ke pekan Rabu.”

“Yaya, anakku. Aku diserang hendap selepas dibubuh racun di dalam makananku. Racun yang terlalu bisa, yang melumpuhkan seluruh tubuhku, hingga langsung tidak berdaya untuk melawan. Orang yang kuanggap sebagai sahabat karibku selama ini rupanya dalam diam-diam sudah bertukar menjadi musuh. Akibat cemburu, iri hati, hawa nafsu dan dendam kusumat. Aku cedera teruk, Yaya. Aku berpura-pura mati hingga mereka meninggalkanku. Aduh …”

“Ayah! Siapakah si durjana itu? Biar kucari dia. Biar ku ajar dia.”

“Jangan anakku. Nanti. Sabar dulu. Dia bukan lawanmu. Kau masih seorang anak muda. Sepanjang hayat ku, setakat pengetahuanku, di seluruh bumi Patani ini hanya aku yang mampu menewaskannya selama ini.”

“Namanya Daman Lela. Timbalan Panglima Agung kerajaan Kedah Negara. Dia bekas sahabat seperguruan denganku. Tidak kusangka, begitu licik perancangannya. Tiada sesiapapun yang akan menyangka bahawa ini perbuatannya. Dengan ketiadaanku, aku pasti Daman Lela yang akan mengambil alih tempatku sebagai Panglima Agung. Malah mungkin tempatku sebagai suami ibumu, Nirmala Ratna.”

“Sampai begitu sekali, ayah? Tapi mengapakah dia begitu kejam terhadap ayah, yang selama ini sahabat karibnya?”

“Kini aku hanya mampu menjangka, anakku. Dia selalu tewas kepadaku. Sejak dari kami kecil-kecil lagi. Sebelum aku berhijrah ke sini, dialah tokoh dan juara dalam segala bidang. Namun dia sering terpaksa beralah denganku selepas kemunculanku.”

“Kata ibumu, Daman Lela juga pernah berkawan rapat dengannya. Katanya juga, dia menganggap Daman Lela hanya sebagai teman biasa. Tapi mungkin Daman Lela beranggapan lebih daripada itu dan menaruh hati kepadanya. Tapi memang aku sering terasa seperti ada sesuatu perasaan yang lebih daripada itu di pihaknya terhadap Ratna, seperti bekas teman yang dulu pernah rapat tetapi telah renggang hubungannya.

“Aku menganggap semuanya sebagai perkara biasa. Seperti kata orang, asam garam hidup. Lagipun Daman Lela sering kali berkata dia menganggapku sebagai saudara kandungnya. Aku juga yang silap. Terlalu senang percaya kepada pura-pura, terlalu mudah selesa dengan tutur kata. Tanpa menyelami rasa hati sebenar. Tanpa menguji janji setia. Rupanya dia lidah bercabang. Nada suaranya lain di siang, lain pula di malam. Umpama haiwan sesumpah (mengkarung), bertukar warna mengikut suasana. Mungkin kemarahan Daman Lela kepadaku, kerana pada anggapannya aku merebut kasih ibumu daripadanya, kini membara dan membakar hatinya kembali sesudah sekian lama terpadam. Walhal di pihak ibumu dia hanya teman biasa, seperti saudara jua. Mungkin ada pihak yang mengadu domba, mengapi-api. Yaya, buatlah ini satu pengajaran besar untukmu di hari muka.”

“Hanya kerana kecundang dalam cinta, maka Daman Lela sanggup melakukan angkara sehabis durjana?”

“Tidak. Dia juga kepinginkan jawatanku sebagai Panglima Agung. Ku jangka dia mungkin ada berpakat dengan pembimbing raja, yang juga sudah lama ku syaki ingin merampas kuasa, sungguhpun aku tidak dapat membuktikan telahanku itu.”

“Habis bagaimanakah nasib raja baru kita, ayah?”

“Tidak dapat ku pastikan. Kau carilah baginda sehabis daya usahamu. Bundanya adalah daripada kerabat diraja kerajaan Dvaravati. Kalau kau temui dia, usahakanlah supaya dia dibawa ke sana. Lindungilah dia dengan nyawamu sendiri. Baginda ialah raja kita yang sejati, empunya takhta kerajaan Patani ini yang sewajarnya. Kembalikanlah takhta itu kepadanya. Anggaplah itu sebagai tugasmu, warisan daripada ku. Ingatlah.”

“Baiklah ayah. Yaya akan cuba melakukannya sedaya upaya Yaya. Habis apa yang harus Yaya buat sekarang, ayah?”

“Yaya, bersabarlah dulu. Pahlawan berwibawa tidak boleh mudah hilang pertimbangan, walau dalam apa keadaan sekalipun. Kau akan punya banyak masa untuk membuat perhitungan dengan si Indra durjana itu. Persiapkanlah dirimu sebaik-baiknya dulu sebelum kau cari dan hadapi dia.”

“Selebih penting daripada itu, sentiasalah ingat, Yaya. Kau dan aku, kita berdua zuriat Marduniya, pahlawan terbilang dari Parsi, mahawira, panglima 2 maharaja berturut-turut Daraya dan Kshayarsha. Carilah Pedang Kambhujiya ... pedang sakti idaman Marduniya yang tidak kesampaian. Ia senjata hebat. Bila kau temuinya, gunakanlah ia untuk tujuan membela martabat nusa dan bangsa kita, Persekutuan Agung Langkasuka Adhi Negara. Teruskan kemurnian dan kemegahan Kelantan Amdan Negara, seterusnya tuntutlah semula kedaulatan dan kegemilangan seluruh bumi Langkasuka. Aduh … bisanya … tombak ini … aduh …”

“Baiklah ayah. Baiklah. Yaya berjanji …”

“Jika Pedang Kambhujiya bersamamu, kau akan sukar ditewaskan oleh sesiapapun, walau pahlawan sehebat mana. Aduh …”

“Benarkah ayah?”

“Benar anakku. Itu pesanan Marduniya. Aduh …”

“Walau sehebat Rajendra Chola?”

“Ya. Walau sehebat si rakus Rajendra itu. Aku harap satu hari nanti kaulah akan menjadi Panglima Agung Langkasuka yang akan menumpaskan si bedebah itu atau barang siapapun penggantinya. Kau ajar dia nanti. Aduh …”

“Ayah! Bertenanglah yah. Ayah sakit.”

“Maafkan aku kerana tidak dapat hidup lebih lama bersamamu, mendidikmu hingga dewasa dan menjadi pahlawan perkasa. Aku tertipu dan kecundang oleh sahabat yang bertukar menjadi musuh. Aduh …”

“Ayah!”

“Untuk sementara, janganlah terlalu bimbang tentang ibumu. Ku kira, Daman Lela tidak akan megapa-apakan Ratna kerana terlalu sayangkan dia. Dia juga berdarah perwira, aku pasti, dia akan mampu mencari jalan untuk menjaga dirinya sendiri, tanpa membenarkan maruah diri dan juga keluarganya tercemar. Aduh …”

“Tapi kau, kau zuriatku. Kau merbahaya kepada Daman Lela kalau dibiarkan hidup setelah dia menzalimiku. Oleh itu, dari saat ini, berwaspadalah. Selamatkan dirimu, pergilah segera jauh dari sini serta merta. Kau menanggung tugas besar. Dan nyawamu dalam bahaya. Aku pasti kini Indra akan cuba mencari dan menghapuskanmu dari bumi ini. Mujurnya, dia masih tidak mengenalimu. Lakukanlah apa yang patut dan wajar. Satu hari nanti, bila kau sudah bersedia, aku pasti, kau akan kembali, untuk membela nama dan martabat keluarga kita, Dharmakusuma, yang telah ternoda. Tiba waktu itu, carilah ibumu, selamatkanlah dia, dan jagailah dia sebaik-baiknya. Aduuuh …”

“Ayah! Baiklah ayah. Yaya akan pergi berkunjung ke teratak Ibu Wulan. Kalau dia merestui, mungkin Yaya boleh menumpang di rumahnya barang sehari dua.”

“Ibu Wulan? Siapakah gerangan dia?”

“Dia ibu Madu”

“Madu?”

“Ya, Mardunisa di pekan Rabu. Berumur baru masuk enam tahun. Yaya menganggapnya sebagai adik angkat, dan ibunya pula menganggap Yaya sebagai anak angkat. Lagipun Yaya kan tidak punya adik. Manakala Ibu Wulan pula tidak punya anak laki-laki. Dia berniaga lauk-pauk, buah-buahan, sayur-sayuran dan kuih-muih.”

“Kau yakin Ibu Wulan boleh dipercayai?”

“Ya. Dia kelihatan seperti orang baik-baik. Setiap kali bertemu dia pasti bertanyakan khabar keluarga kita. Dan mengajak Yaya berkunjung ke rumahnya. Tapi hanya Yaya yang malu.”

“Kau tahu dari mana asalnya?

“Katanya dia berasal dari Pasai, dan arwah suaminya dari Bruas. Tapi iras wajahnya seperti …”

“Seperti apa?”

“Seperti … seperti orang yang … ada berketurunan … dari … tempat yang jauh-jauh.”

“Maksudmu?”

“Hidungnya agak besar, panjang dan mancung. Rambutnya ikal mayang dan hitam pekat. Matanyapun seperti ada sedikit keperangan.”

“Baiklah. tapi sentiasa berhati-hati. Ingatlah pesanan ayah. Jangan terlalu mudah mempercayai sesiapa.”

“Baiklah ayah.”

“Nah, ambillah keris Taji Alam ini. Hari ini, dalam keadaan tubuhku di runtun racun nan bisa, sembilan nyawa musuhku telah kuragut dengannya. Gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya. Ingatlah pesanan datukku, moyangmu, Panglima Anusapati. Biar bumi bermandi darah, namun, jangan bangsa terus dijajah.”

“Terima kasih, ayah. Tidak akan Yaya lupa pesanan itu.”

“Juga jangan kau lupa pegangan keluarga Dharmakusuma turun temurun. Siapa berpegang diturut, siapa berhutang dituntut. Aduuuh …”

“Baiklah ayah. Akan ku ikhtiarkan dengan seluruh jiwa dan raga. Demi ayah, demi ibu, demi keluarga kita. Suatu hari nanti, berbekal nyawaku, hutang darah pasti ku tagih daripada si Indra durjana yang membuat angkara ini. Aib dan aniaya terhadap keluarga Dharmakusuma pasti ku tebus. Keluarga Dharmakusuma akan bangkit kembali. Ayah, Yaya berjanji.”

“Yaya anakku. Memang tepat seperti yang kujangka. Kau punya semangat anak jantan sebenar. Keturunan Dharmakusuma. Sekaligus zuriat Marduniyush. Ku harap kau mewarisi kekentalan semangat Prabhawa. Dan keberanian serta keperkasaan Marduniyush. Aduuuh …”

“Ayah!”

“Berkenalah. Berkembaralah. Ke sejauh mana pelosok alam yang patut. Ambillah sebanyak masa yang kau perlukan. Namun, kala tiba waktunya, bila kau sudah cukup bersedia, kembalilah. Kembalilah ke Langkasuka, dan bebaskanlah ia daripada belenggu kekuasaan dan pertuanan kuasa asing.

“Pesanku yang terakhir, carilah ... suku-sakat kita ... yang telah lama terpisah. Kaum kerabat ... keturunan Aryaramnish ... di Sumatra. Aku percaya ... mereka berada ... tidak jauh dari ... tampuk pemerintahan ... Sri Wijaya. Aduh …”

“Baiklah ayah. Akan kucari mereka hingga bertemu.”

“Yaya. Aduh … sakitnya … Anak … ku … sa … yang … Arya … putra. Se … la … mat … ting … gal …”

“Ayah! Ayah! Jangan tinggalkan Yaya! … hu u hu … Ayah! … hu u hu … hu u hu … hu u hu …”

Demikianlah pilunya rasa yang melanda di hati Aryaputra, menusuk ke seluruh kalbunya. Anak malang, putera tunggal keluarga Dharmakusuma, menangis tersedu-sedan. Memeluk mencium bapanya. Yang kini seluruh tubuhnya diam kaku. Tidak bernyawa lagi.

Sejurus kemudian, dalam menangis teresak-esak Aryaputra memaksa dirinya mengangkat dan melangkahkan kakinya yang kini terasa begitu berat sekali, menuju semula ke arah pekan Rabu. Dia cuba mententeramkan dirinya, namun apakan daya, hanya sia-sia. Dirinya cuma seorang anak berumur sepuluh tahun, baru pula kehilangan bapa tersayang dalam keadaan begitu dahsyat dan memilukan. Kini entah ke mana arah tujuan dalam hidupnya.

Sesampai kembali ke kawasan sekitar pekan Rabu, Aryaputra menunggu sejenak hingga perasaannya terasa lebih terkawal. Kemudian perlahan-perlahan dia menghampiri gerai Cempaka Sari. Kebetulan saat itu Cempaka Sari sedang berkemas-kemaskan barangnya dan bersiap-siap untuk menutup gerai dan seterusnya balik ke rumah.

Langkah demi langkah Aryaputra menghampiri Wulan Sari, serta cuba bersuara untuk menyapanya. Namun lidahnya kelu tidak bermaya. Sebaik sahaja Wulan Sari menyedari kehadirannya, dia berkata, “Yaya, kau datang kembali? Kau belum pulang lagi, nak?”

Sebaik saja mendengar sapaan Wulan Sari, Aryaputra tidak dapat lagi menahan perasaannya, lantas meluru ke arah Wulan Sari, memeluknya erat-erat tanpa segan silu lagi, dan sekali lagi menangis tersedu-sedan.

"Yaya! Apa yang sudah terjadi, anakku?”

“Ibu … Yaya … Ayah …” Aryaputra cuba berceritakan perihal peristiwa, namun tidak berdaya kerana lemas dek rasa pilu yang datang berombak-ombak melanda dirinya.

“Baiklah, Yaya. Tenteramkan dirimu dulu. Ibu ada bersamamu. Kita tunggu orang lain pulang dulu. Kemudian kau ceritakan padaku apa yang telah berlaku.”

Sejurus kemudian, keadaan di pekan Rabu pun sudah semakin lengang, dan Aryaputra pun mula berasa bertambah tenang di sisi orang yang selalu mengambil berat tentang diri dan keluarganya. Mardunisa kelihatan sedang bermain-main agak jauh dari gerai dan masih tidak menyedari kedatangan semula Aryaputra. Biasanya dia akan berlari-lari menemui Aryaputra jika melihatnya. Sedikit demi sedikit, antara sedu dan sedan, Aryaputra menceritakan segala-galanya kepada Wulan Sari.

Sedikitpun tidak berganjak wanita itu mendengar kisah yang berlaku. Aryaputra begitu kagum melihatkan kekentalan semangatnya. Namun sedikit demi sedikit, air mata mengalir jatuh berlinangan membasahi pipinnya. Tanpa bercakap walau sepatah kata, dia menghampiri Aryaputra dan memeluknya erat, membelainya seperti anak kecil yang pilu dibuai kesayuan.

Sejurus kemudian baru Wulan Sari mula bersuara dengan penuh lemah lembut. “Yaya. Ibu ada di sini bersamamu. Janganlah kau bimbang walau sedikitpun. Ibu akan membantumu, walau apapun yang kau perlukan. Sekarang mari kita pulang bersama ke rumah ibu dulu.”

Menoleh ke arah anaknya Mardunisa, Wulan Sari lalu memanggilnya, “Maduuu, anakkuuu. Mari kita pulang nak.”

Mendengar panggilan ibunya, Mardunisa mendongak dan menoleh ke arah ibunya lalu ternampak Aryaputra. “Abang Yaya! Abang Yaya!” jeritnya keriangan sambil meluru ke arah mereka. Aryaputra cepat-cepat mengesat-ngesat birai matanya yang masih basah kuyup supaya tidak ketara kepada Mardunisa.

Malam itu mereka tidak begitu banyak berbicara. Namun Aryaputra dapat merasai bahawa Wulan Sari sentiasa memerhatikan gerak-gerinya. Dia seperti cuba menjangka apa-apa perkara yang diperlukannya lalu segera mendapatkannya.

Untuk makan malam, Wulan Sari memasakkan juadah kegemaran Aryaputra, iaitu masak lemak kuning ikan kembong, celur pucuk ubi, goreng tumis pucuk paku dan sambal mangga. Pelbagai buah-buahan dihidang sebagai pencuci mulut dan air nira pula untuk minuman. Aryaputra mulanya tidak begitu berselera. Namun dia berkali-kali diajak dan diajum oleh Wulan Sari dan Madu yang juga tidak jemu-jemu datang menjenguk dan bertanyakan tentang keselesaan dirinya di rumah mereka. Aryaputra akhirnya beralah dan duduk bersila untuk menjamu selera bersama mereka dua beranak.

Selepas selesai makan malam Wulan Sari membasuh pinggan mangkuk.Seterusnya dia membersih-bersihkan dan mengemas-ngemaskankan satu sudut di ruang tamu dan mempersediakannya sebagai tempat tidur Aryaputra. Aryaputra amat keletihan dan terlena sebaik saja meletakkkan kepalanya ke bantal. Dia termimpi-mimpi tentang peristiwa yang menimpa bapanya dan sekali-sekala kedengaran seperti mengalami igauan ngeri. Wulan Sari menggeleng-geleng kepalanya seorang diri melihat gelagat Aryaputra dan mengenangkan nasib malang anak angkatnya itu.

§
Pada lewat tengah malam, Aryaputra terjaga apabila terdengar seperti bunyi tapak kaki yang berjalan perlahan-lahan. Aryaputra menggosok-gosokkan matanya yang terkebil-kebil cuba melihat apa yang berlaku. Dalam cahaya bulan yang menembusi masuk melalui jendela ruang tamu yang terbuka, Aryaputra ternampak agak jelas akan Wulan Sari yang sudah bertukar pakaian memakai sejenis pakaian anih serba putih.

Pakaian itu melitupi seluruh tubuhnya, kecuali bahagian mukanya. Dia kemudian mengambil sekeping permaidani kecil dan menghamparnya menghala ke barat dan berdiri tegak di tepi bahagian timur menghadap ke barat. Sambil bibirnya kelihatan berkumat-kamit membaca sesuatu dengan nada perlahan, dia mengangkat kedua belah tangannya yang masih terlindung oleh pakaian putih itu dan berucap dalam bahasa yang kedengaran seperti bahasa Arab.

Dia terus membaca-baca sambil bertukar-tukar kedudukannya, sekejap berdiri dengan kedua tangan seperti berlapik di bahagian perut, sekejap membongkok dengan tangannya bertongkat dilutut, sekejap lain pula membongkok habis hingga kedua lututnya serta kedua tapak tangannya menyentuh lantai dan mukanya mencium lantai. Pada tamatnya, dia kelihatan berkedudukan seperti hampir bersimpuh, menoleh ke kanan, kemudian ke kiri, akhir sekali mengusap mukanya dengan sebelah tangan sambil berucap lagi dalam bahasa yang sama.

Sesudah perbuatan anihnya itu selesai, dia masih kekal dalam kedudukan hampir seperti bersimpuh itu, menadah kedua tangannya dan terus berkumat-kamit mulutnya untuk seketika. Kemudian sekali lagi dia mengusap mukanya, kali ini dengan kedua-dua belah tangannya. Seterusnya dia bersalin pakian memakai pakaian pahlawan. Aryaputra berpura-pura masih tidur nyenyak namun memerhatikan setiap tingkah laku Wulan Sari.

Wulan Sari kelihatan mengambil sebilah keris dan menyelitkannya pada bengkung yang menyaluti pinggangnya. Kemudian dia masuk ke kamar tidurnya dan keluar membawa apa yang tampak seperti sebilah pedang besar yang masih bersarung di dalam sarungnya. Dia seterusnya turun ke laman rumah. Aryaputra bangun perlahan-lahan dan berdiri di sebalik daun jendela lalu terus mengintai memerhatikan segala kelakuan Wulan Sari tanpa disedarinya.

Wulan Sari duduk bersila di atas tanah dan kelihatan seperti bertafakur sejenak, kemudian mengangkat tangan seperti berdoa. Seterusnya dia berlari-lari perlahan berpusing-pusing di kawasan laman rumah. Kemudian, dia berhenti di depan laman rumah, lalu kelihatan seperti memulakan langkah silat dan bersilat tanpa senjata seorang diri untuk seketika. Seterusnya dia menghunus kerisnya dan berlatih bermain keris pula. Permainan kerisnya kelihatan cukup kemas dan cekap, seperti orang yang sudah biasa mengamalkannya.

Selepas beberapa lama Wulan Sari enyarungkan kerisnya. Dia kemudian menghunus pedang besarnya pula dari sarungnya. Pedang itu pula kelihatan sesuai benar dengan susuk tubuhnya yang tinggi lampai dan berdada agak bidang itu. Seterusnya dia berlatih bermain pedang pula. Pergerakannya kelihatan semakin tangkas dan semakin bertenaga. Pedang itu ditusuk-tusuk dan dihayun-hayun ke depan, ke sisi kiri dan kanan, ke belakang, ke atas, ke bawah, ke segala arah. Kemudian pedang itu dipusing-pusing mengikut pusingan badannya, seterusnya dipusing-pusing samping berlari tegak. Sekali sekala dia melompat, menerpa, berguling-guling di tanah dan bermacam-macam lagi pergerakannya yang kelihatan agak rumit bagi Aryaputra, tanpa terlepas pedang itu dari tangannya.

Wah, hebat sekali gayanya. Calang-calang lelaki pasti tidak akan berani menghampiriinya dalam keadaan seperti itu.

“Tidak kusangka,” bisik Aryaputra seorang diri. “Rupa-rupanya dia bukan sembarangan wanita. Dia seorang serikandi!”

Selepas beberapa lama Wulan Sari berhenti berlatih bersilat dan bermain senjata. Dia berjalan-jalan beberapa pusingan mengelilingi rumahnya, lalu seterusnya duduk bersila dan berehat di depan jendela untuk seketika. Dia mengelap-gelap mukanya yang basah bersiram peluh. Sejurus kemudian Wulan Sari menuju ke tangga rumah dan seterusnya mula menaiki rumahnya kembali. Aryaputra perlahan-lahan beredar dari tingkap dan merebahkan dirinya di tempat tidur dan kembali pura-pura tidur semula. Tidak lama kemudian dia terlena nyenyak kembali.

Malam itu, Wulan Sari tidak tidur sedikitpun. Selepas mandi membersihkan dirinya yang agak banyak berpeluh dia mengahabiskan masanya mengemaskan barang pakaian dan beberapa barang keperluan utama yang lain. Mereka perlu ke sungai dengan segera untuk mudik ke hilir menuju ke pantai, seterusnya ke pelabuhan kapal. Mujurnya, ada pangkalan perahu di sungai yang tidak berapa jauh dari rumahnya.

Nyawa Aryaputra jelas dalam bahaya selepas apa yang berlaku kepada bapanya. Dia perlu di bawa lari keluar dari daerah itu dengan seberapa segera tanpa dilihat oleh barang siapapun yang mungkin mengenalinya.

Kini, selepas memberi bantuan kepada Aryaputra, Wulan Sari sendiri pula mula merasa bimbang. Dia mengesyaki mungkin ada di kalangan pihak yang sering berniaga ataupun berlanggan di pekan Rabu yang mengesyaki penglibatannya dalam menyelamatkan Aryaputra, lalu menyampaikan perkara tersebut kepada pengetahuan Daman Lela. Lalu, pada pertimbangannya, tindakan terbaik untuk mereka bertiga ialah meninggalkan desa itu dengan seberapa segera.

Kebetulan pula ada seorang saudara Wulan Sari, juga berasal dari Pasai, yang kerap berulang alik membawa kapal dagang kecilnya di antara Beruas dan Patani. Sesekali dia juga balik berkunjung ke Pasai. Wulan Sari akan meminta bantuannya untuk membawa dirinya dua beranak bersama Aryaputra balik ke Bruas, ke kampong halaman arwah suaminya. Dia masih ada sebuah rumah peninggalan arwah suaminya di Bruas. Mereka akan tinggal di sana barang sebulan dua, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke kampong halamannya di Pasai. Kebetulan pula Wulan Sari sudah agak lama tidak balik berkunjung ke Pasai untuk bertemu kaum kerabatnya.

Sebelum dinihari, Wulan Sari mengejutkan Aryaputra daripada tidurnya lalu menyuruhnya mandi dan bersiap-siap dengan segera. Mereka tidak membawa banyak barang-barang. Barang-barang lain yang penting yang masih ditinggalkan di rumah itu boleh di ambil bila Wulan Sari atau salah seorang saudaranya datang ke Patani di waktu lain. Madu akan didukungnya. Aryaputra boleh berglir-gilir dengannya mendukung Madu sekali-sekala bila dia keletihan. Madu jugapun boleh dipujuk supaya berjalan sendiri sekali-sekala bila dia bangkit daripada tidurnya.

§
Suatu hari, ketika bersama-sama memberi makan ayam dengan Wulan Sari, Aryaputra tiba-tiba bersuara

“Ibu Wulan,” katanya.

“Yaya anakku,” jawab Wulan Sari. “Ada sesuatu yang bermain di fikiranmu?”, tanyanya selamba.

“Ibu …. umm … ibu seorang pahlawan, bukan?” tanya Aryaputra selanjutnya dengan teragak-agak.

“Eh eh!”, kata Wulan Sari terperanjat. “Siapakah yang memberitahumu begitu, Yaya?”

“Yaya …. umm … Yaya terpandang Ibu Wulan ketika sedang berlatih bersilat dan bermain pedang di malam itu, ketika Yaya bermalam di rumah Ibu di Kampong Gading untuk kali pertama.

“Ohhh, kau mengintai Ibu rupanya,” Wulan Sari mengusik Aryaputra.

“Yaya … err … ternampak dengan tidak sengaja, Ibu. Maafkan Yaya,” jawab Aryaputra.

“Ohhh, tidak mengapa, Yaya. Kau tidak melihatku dalam keadaan tidak sewajarnya, kan?”

“Ohhh, tidak Ibu, tidak.” jawab Aryaputra, agak bimbang dia kalau-kalau Wulan Sari mengesyaki sesuatu yang tidak baik.

“Ibu kelihatan hebat sekali,” sambung Aryaputra. “Seperti seorang serikandi.”

Wulan Sari tersenyum selamba.

“Yaya juga terpandang Ibu ketika berpakaian serba putih, melakukan sesuatu yang anih. Apakah yang Ibu buat ketika itu, Ibu?”

“Oh, itu. Ibu bersembahyang.”

“Bersembahyang? Apakah itu, Ibu?”

“Bersembahyang itu ertinya memuja Tuhan Maha Agung, Sang Pencipta yang satu. Mengingati kebesarannya sekaligus berserah kepadanya, serta memohon bantuan dan kedamaian daripadaNya. Ibu menganuti ajaran Islam. Penganut Islam dituntut bersembahyang lima kali sehari. Bukannya untuk menjaga kepentingan Sang Pencipta, kerana Dia tidak memerlukannya, tetapi bertujuan untuk menjaga kesejahteraan penganut itu sendiri.”

“Wah, itu sesuatu yang mengagumkan,” ujar Aryaputra. “Ibu tidak memuja Vishnu atau Shiva? Ataupun mengikuti ajaran Gautama?”

“Sepanjang pengetahuanku, Gautama juga tidak pernah meminta disanjung atau dipuja. Jauh lagi disembah dan diperdewa,” jawab Wulan Sari. “Dia sekadar seorang guru yang mengajar tentang kebaikan. Tidak lebih, tidak kurang. Tidak. Penganut Islam dilarang memuja sesuatu selain daripada Tuhan Maha Agung. Termasuk sebarang patung atau perlambangan. Keluarga kami sudah menganuti Islam sejak turun temurun, dari zaman nenek moyang kami di Pasai lagi.”

“Oh. Aneh ya?”

“Kau ada belajar seni tempur, Yaya?”, tanya Wulan Sari.

“Ada sedikit-sedikit, Ibu,” jawab Aryaputra. “Arwah Ayah sudah lama mengajar Yaya jurus-jurus silat yang asas. Tapi kalau bermain senjata, belum ada lagi. Katanya permainan senjata itu amat berbahaya, dan Yaya belum cukup dewasa untuknya. Cuma, jarang-jarang sekali dia ada membenarkan Yaya cuba-cuba memegang-megang dan bermain keris melawannya yang tidak bersenjata. Itupun hanya semasa dia berangin baik. Kalau bermain pedang tu, sekali pun belum pernah lagi,” ujar jawab Aryaputra panjang lebar.

“Ibu lihat, kau ada membawa sebilah keris bersamamu. Rupanya cantik sekali. Itu peninggalan Ayahmu?” tanya Wulan Sari.

“Ya, Ibu,” jawab jawab Aryaputra. “Namanya Taji Alam. Kata Ayah, ia anugerah daripada raja Langkasuka kepada datuknya, iaitu moyang Yaya, iaitu Panglima Anusapati, juga digelar Panglima Awang oleh sesetengah sahabatnya. Dia dihadiahkan keris itu selepas dia berjaya memimpin pahlawan Patani menumpaskan tentera laut Siam yang menyerang Patani. Ayah berpesan supaya Aryaputra menggunakan Taji Alam dengan sebaik-baiknya untuk membela bangsa dan tanah air.”

“Ohh, baguslah tu,” celah Wulan Sari. “Memang itulah yang menjadi tugas dan tanggungjawab utama setiap pahlawan.”

“Pedang Ibu itupun hebat rupanya,” kata jawab Aryaputra. “Dari manakah Ibu mendapatnya?”

“Pedang itu namanya Lindung Pertiwi,” ujar Wulan Sari. “Ia peninggalan arwah bapaku. Katanya, dia mewarisinya daripada arwah datuknya, seorang pahlawan Sri Wijaya. Bapaku tidak mempunyai anak laki-laki, lalu dia mewariskan Lindung Pertiwi kepada Ibu. Kebetulan pula, Ibupun memang sangat meminati ilmu persilatan dan bela diri sejak Ibu kecil-kecil lagi.”

§
Sanjaya rupanya tidak mati akibat racun itu. Dia hanya pengsan teruk. Mujurnya sekumpulan Orang Darat menemuinya sewaktu lewat malam semasa melalui tempat dia diserang dan pengasan. Mula-mula sekali mereka memberinya minum air kelapa gading muda untuk menawarkan sedikit bisa yang sedang meruntun tubuhnya itu. Mereka juga menyuapnya sedikit arang. Kemudian mereka membawanya ke kawasan kediaman mereka di hutan tebal di pinggir kaki Gunung Jerai.

Di sana mereka telah mengubatinya dengan ubat-ubatan penawar bisa yang diperbuat daripada pelbagai dedaunan dan akar-akar kayu. Sanjaya tinggal dengan puak Orang Darat itu selama beberapa bulan sehingga dia betul-betul sembuh. Dalam pada itu dia menyimpan rambut, misai dan janggut yang panjang, di samping memakai pakaian yang sudah lusuh yang diberikan oleh Orang Darat kepadanya, supaya tidak dapat dicam oleh sesiapa yang pernah mengenalinya. Maka dengan itu dia menyamar sebagai seorang petapa tua yang duduk bertapa di hutan dan hanya sekali-sekala keluar ke pekan.

Dalam pada itu dia beransur-ansur bergerak melalui jalan hutan ke arah utara, menghala ke Grahi, dan seterusnya ke Ligor. Kebanyakan perjalanannya dibuat di sebelah malam, supaya mengurangkan kemungkinan bersua dengan Indra ataupun kuncu-kuncunya. Sungguhpun dia kini mampu bergerak dan berjalan dengan agak bebas, dia masih belum pulih secukupnya untuk menentang mereka dengan baik jika terdesak.

§
Dulu semasa mudanya dia pernah berjalan dari Ligor ke Kedah dalam masa seminggu. Namun dalam keadaannya kini, di tambah pula dengan cara perjalanan yang terpaksa dibuat secara perlahan-lahan dan sembunyi-sembunyi demi keselamatan diri, dia mengambil masa tiga bulan untuk sampai ke Ligor. Namun, itu tidak sedikitpun mengganggu fikirannya. Biar lambat, asal selamat. Itulah yang menjadi pegangannya.

Sesampainya dia di sana, barulah terasa begitu lega hatinya. Ligor kini tidak lagi di bawah pertuanan Srivijaya. Malahan Suryavarman I yang dulunya merupakan Raja Ligor kini sudah menaiki takhta seluruh Angkor. Maka Suryavarman I sebagai Maharaja Angkor kini duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Maharaja Srivijaya. Maka dengan itu, bala tentera Srivijaya tidak lagi boleh memasuki wilayah Ligor dengan sesuka hati tanpa mendapat izin resmi daripada Suryavarman I terlebih dahulu. Namun begitu, Sanjaya tetap sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

Mungkinkah Suryavarman I akan melayan sebarang permohonan oleh Kedah Negara berbentuk pahlawan dan kelengkapan perang untuk menyerang pangkalan Srivijaya di Kedah? Persoalan itu sering bermain-main di kepalanya akhir-akhir ini.

§
“Jadi, pada fikiranmu, apakah yang terbaik boleh kita lakukan, Sanjaya?” tanya Ayudhika.

“Tuanku, patik ada satu akal,” jawab Sanjaya.

“Nyatakanlah padaku, Sanjaya.”

Sanjaya lalu merapatkan mulutnya ke arah telinga Ayudhika dan menghuraikan cadangannya kepada Ayudhika dengan nada berbisik, supaya tidak didengari orang lain.

“Wah! Bijak sekali sarananmu itu. Memang kau ini berotak geliga dalam hal-hal seperti ini. Memang tepatlah pilihanku dulu mengambilmu menjadi Panglima Utama.”

“Bagaimana dengan Suryavarman? Haruskah kita memberitahu baginda dan mendapatkan restunya dalam perkara ini?

§
Tidak berapa lama kemudian Sanjaya dengan bantuan Ayudhika telah dapat mengumpulkan 3,000 pahlawan dari Kedah dan Ligor. Gerombolan ini, termasuk Sanjaya dan Ayudhika sendiri, lalu belayar ke Singhala Nagara. Kerana keadaan angin yang tidak begitu baik, mereka mengambil maa 3 minggu utuk sampai ke sana.

Ketibaan gerombolan pahlawan Langkasuka itu telah disambut dengan begitu baik dan besar hati oleh Vijayabahu, Raja Singhala Nagara. Baginda sedang giat membuat perancangan dan persediaan untuk menyerang kubu Chola di Polanuruwa, di utara Pulau Langka.

Tentera Langkasuka itu tidak mebuang masa dan terus membuat latihan perang bersama bala tentera Singhala Nagara yang berjumlah 12,000 orang semuanya.

§
Ayudhika kini sibuk benar. Dia mengendalikan gerombolan kapal saudagarnya yang semakin hari semakin pesat berkembang. Dia lebih banyak menggunakan pelabuhan di Pantai Timur, berhampiran Grahi dan Ligor.

Di masa yang sama, separuh daripada angkatan tenteranya dan kapal-kapal mereka menyamar sebagai gerombolan lanun. Namun, mereka tidak mengganggu mana-mana kapal secara rambang atau sembarangan. Yang menjadi sasaran mereka hanyalah kapal-kapal milik saudagar Chola, kerajaan Chola serta kapal tentera Chola yang menjadi kumpulan pengiring. Maka gerombolan pahlawan Ayudhika yang menjadi lanun samaran ini meronda-ronda di seluruh pesisir Semenanjung untuk menyerang, merompak dan memusnahkan sebanyak mungkin harta benda milik Chola dan sekutu-sekutu mereka.

§
“Hamba bercadang untuk berkunjung ke Annam,” Sanjaya bersuara. “Ke negeri orang Dai Viet. Sudah lama hamba tidak ke sana.”

“Ke Annam? Bukankah Dai Viet itu musuh ketat Champa dan Kambuja Nagara?” tanya Ayudhika. “Apa yang ada di sana?”

“Ampun patik, Tuanku. Pada hemat patik, permusuhan mereka adalah urusan mereka. Bukan urusan kita. Lagipun sehingga kini tiada sebarang kerajaan daripada Persekutuan Langkasuka yang pernah terlibat dengan perseteruan segi tiga di antara mereka. Kalau ada pun mungkin hanya sekadar gerombolan tentera upahan yang pergi ke sana secara sendirisendiri. Hamba ingin bertemu seorang sahabat lama. Namanya Ly Thuong Kiet. Kami berkenalan semasa menghadiri pertandingan seni bela diri di Champapura. Hamba dengar dia kini telah menjadi Panglima Agung Annam.”